11 Kereta Sapu Disita dan 34 Individu Langgar Syarat PKPB Ditahan.

Antara individu yang ditahan untuk pemeriksaan dalam sekatan di Jalan Nipah Tengah, di sini, semalam.

Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com

Lahad Datu: 11 kereta disita manakala 34 individu ditahan, semalam, selepas didapati aktif melakukan kegiatan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan.

Dalam operasi polis di Jalan Tengah Nipah, di sini, bermula jam 7 pagi itu mendapati, semua kereta persendirian berkenaan digunakan sebagai kereta sapu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kesalahan utama yang dikesan adalah menaiki kenderaan persendirian (kereta sapu) yang mana pemandu dan penumpang tidak tinggal serumah.

Katanya, kesalahan melanggar Peraturan 9
Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6) 2020.

“Semua yang ditahan berusia 18 hingga 68 tahun itu juga boleh dihukum mengikut Peraturan 15(1) Peraturan yang sama.

“Daripada 34 yang ditahan, 17 individu adalah warga tempatan membabitkan 10 wanita dan tujuh lelaki dan mereka semua dikenakan kompaun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kenderaan persendirian yang digunakan sebagai kereta sapu melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan.

Nasri berkata, manakala selebihnya warga asing membabitkan enam wanita dan 11 lelaki warga asing pula ditahan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Katanya, 11 kenderaan yang disita turut disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Operasi ini membabitkan lapan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Lahad Datu yang menjalankan tugas pemantauan OP Covid 19 (PKPB),” tegasnya.

Tamat