37 Dikompaun Manakala Dua Penjaga Premis Ditahan Langgar SOP PKPB.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

PENAMPANG: Seramai 37 individu dikompaun manakala dua penjaga premis ditahan selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Semua individu terbabit ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menjalankan pemantauan PKPB Op  Covid-19, kira-kira jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, hasil pemeriksaan di dua restoran berkenaan mendapati seramai 24 pelanggan lelaki dan 11 pelanggan wanita sedang berkumpul.

Katanya, mereka didapati berada di tempat sama tanpa mengamalkan penjarakan sosial yang selamat.

“Semua mereka didapati melanggar PKPB dengan berkumpul di premis tanpa menjaga jarak sosial iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

“Semua pelanggan terbabit dibawa ke IPD Penampang bagi tindakan kompaun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim

Mohd Haris berkata, dua penjaga premis berkenaan berusia 33 dan 61 tahun ditahan bagi membantu siasatan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan kepada nyawa.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No 6) 2020,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai khususnya di daerah itu supaya sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)

Katanya, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang melanggar peraturan dan SOP PKPB ini.

tamat