30 Rumah Di Kampung Sri Aman Musnah Terbakar.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Semporna: Sekurang-kurangnya 30 rumah atas air musnah terbakar dalam insiden kebakaran di Kampung Sri Aman, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kebakaran hanya membabitkan kemusnahan harta benda dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.33 pagi.

Katanya, JBPM kemudiannya menggerakkan pasukan bomba dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dan dibantu BBP Kunak serta BBP Tawau.

“Sebanyak dua jentera FRT, sebuah water tanker dan dua van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) yang diketuai Pegawai Bomba, Fazizul Hizam Borhan bersama 24 orang anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Menurut ketua operasi, kebakaran membabitkan rumah atas air jenis tidak kekal dengan jumlah keluasan keseluruhan 4,249 meter persegi,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 120 meter dengan empat pancutan menggunakan sumber air laut dan tangki Jabatan Air.

Katanya, api berjaya dikawal pada jam 3.16 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.01 pagi.

“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan di kawasan kebakaran bagi memastikan tiada lagi kemerbahayan lain.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati tiada mangsa kematian atau kecederaan dilaporkan terbabit dalam insiden ini,” katanya.

Tamat