
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Status ‘tukar jenama dalam tempoh seminggu’ yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah yang dimuatnaik menerusi laman facebook ternyata mendapat perhatian ramai, hari ini.
Bagaimanapun, status berkenaan sebenarnya hanya merujuk kepada pertukaran jenama set kayu golf yang digunakan sebelum ini.
Datuk Masiung dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan status berkenaan tiada kaitan dengan politik.
Katanya, beliau hanya mahu menukar jenama set kayu golf daripada jenama Yamaha kepada Honma, yang baru dilihatnya di pusat beli belah Oceanus, di sini.
“Saya mohon maaf kalau muat naik saya tadi mendatangkan banyak tafsiran, itu adalah saja-saja untuk mengisi ruang masa lapang daripada bercerita soal politik yang tidak berkesudahan.
“Bersukan untuk masa lapang, masa untuk bekerja untuk rakyat, teruskan bersama parti Warisan,” katanya kepada media hari ini.
Terdahulu hari ini, Masiung menerusi akaun Facebook, DMB ADUN Kuamut memuat naik status iaitu ‘kemungkinan saya akan bertukar jenama lagi, tunggulah satu minggu ini’.
Status berkenaan bagaimanapun menimbulkan pelbagai tanda tanya terutama berkaitan isu politik sehingga ada yang menganggap beliau mahu meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan).
Masiung berkata, beliau gemar bermain golf dan hanya mahu memberitahu rakan-rakannya untuk menukar kayu golf.
Sebalik katanya, kayu golf jenama Honma terlalu mahal berbanding Yamaha, justeru beliau mungkin kekal dengan kayu golf lama.
“Saya tengok tadi di Oceanus tetapi mahal pula jenama Honma jadi mungkin saya terus pakai Yamaha dulu,” katanya.
Sebelum ini, banyak khabar angin dimainkan pembangkang mengatakan ramai wakil rakyat di Sabah akan berpaling tadah.
Antara yang disebut-sebut ialah ADUN Tanjung Kapor, Ben Chong dan ADUN Labuk, Abdul Rahman Kongkawang.
Kedua-dua mereka bagaimanapun sudah menafikannya dan bertegas kekal dengan Perti Warisan.
Tamat







