Bom Perang Dunia Kedua Ditemui

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Labuan: Sekumpulan pengunjung pantai Pulau Daat, di sini, gempar selepas menemui sebutir bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua, Rabu lalu.

Bom seberat hampir 450 kilogram itu ditemui kira-kira 200 meter dari pesisir pantai dengan sebahagian besar bom berkenaan tertanam di dalam pasir pantai.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan bersama anggota Unit Pemusnah Bom (UPB) bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bom berkenaan adalah bom lama (UXO) jenis Aerial yang sudah berkarat serta terdapat lubang di bahagian ekor.

“Bahan letupan bom berkenaan didapati sudah bercampur dengan air laut, terhakis dan didapati tidak lagi aktif.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati bahagian ‘Fuse head’ dan ‘Booster’ masih melekat dalam badan bom dan perlu dimusnahkan mengikut prosedur,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan,

Muhamad Farid berkata, saiz bom berkenaan dianggarkan berukuran lebih 1 meter dengan ukur lilit 1.5 meter serta berat lebih kurang 450 kilogram.

“Susulan itu, polis mengambil langkah keselamatan dengan membuat kawalan di sekeliling objek yang ditemui.

“Tindakan pemusnahan dijalankan anggota UPB IPD Labuan.

“Ketika tugas pemusnahan dilaksanakan, tiada kerosakan harta benda awam serta kecederaan berlaku,” katanya.

Tamat