Rugi RM67,700 Ditipu Penyamar Pegawai Bank Dan Polis.

Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Labuan: Seorang pengurus kewangan kerugian RM67,700 selepas terpedaya dengan sindiket dipercayai ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai kanan polis, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, wanita berusia 40 tahun terbabit mendakwa menerima panggilan telefon dari tiga lelaki yang tidak dikenalinya.

Apa yang mengejutkan mangsa, apabila “Pegawai bank” berkenaan mendakwa ada individu lain menggunakan identiti mangsa untuk memohon kad kredit di bank HSBC.

Selain itu, sindiket berkenaan turut mendakwa semakan mendapati penggunaan kad kredit yang menggunakan nama mangsa sudah melebihi had yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, bagi mengemaskini akaun, mangsa diminta mendedahkan butiran diri, nombor akaun, kata laluan dan ID akaun kononnya bagi tujuan siasatan.

Bagaimanapun katanya, selepas maklumat akaun diberikan, mangsa kemudiannya mendapati sejumlah wang dari akaun miliknya sudah dipindahkan ke akaun lain yang tidak dikenali.

“Mangsa menyedari ditipu dan terus tampil ke Balai Polis bagi membuat laporan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataaan media yang dikeluarkan, hari ini.

Muhamad Farid berkata, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda.

Tamat