
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Labuan: Seorang pengawal keselamatan tergamak menjadikan anak perempuan tirinya sebagai tempat melampiaskan nafsu serakah apabila dipercayai sudah beberapa kali merogol gadis malang itu sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, lelaki berusia 42 tahun yang didakwa turut mencabul remaja itu akhirnya ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Sungai Miri, di sini, jam 1.10 tengah hari tadi.
Difahamkan, kejadian berkenaan terbongkar selepas mangsa berusia 16 tahun yang sudah tidak tahan diperlakukan sedemikian nekad membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian terbaru dilaporkan berlaku jam 6.30 pagi ketika mangsa sedang tidur bersendirian di bilik tidurnya.
Katanya, suspek dikatakan masuk secara tiba-tiba ke dalam bilik mangsa dan terus bertindak mencabul anak tirinya itu.
“Mangsa cuba menghalang perbuatan suspek namun bapa tirinya tidak mengendahkan rayuan mangsa.
“Selepas beberapa minit mencabul anak tirinya, suspek terus berhenti dan beredar dari bilik mangsa untuk ke tempat kerjanya,” katanya dalam kenyataan media, sebentar tadi.
Muhamad Farid berkata, ketika kejadian ibu mangsa tiada di rumah kerana bekerja manakala adik beradik mangsa yang lain pula sedang tidur di bilik masing-masing.
Katanya, siasatan mendapati mangsa juga mendakwa sering dirogol secara paksa ketika ibunya tiada di rumah.
“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Labuan esok untuk permohonan reman tujuh hari.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cabul dan Seksyen 376(3) akta sama bagi kesalahan rogol,” katanya.
tamat






