
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), hari ini, mencatat sejarah apabila melakukan penjenamaan semula sebagai parti politik dengan aspirasi rakyat berbilang kaum.
Pelancaran penjenamaan itu juga mencatatkan satu lagi sejarah apabila dibuat secara atas talian menerusi lma Facebook Page UPKO Malaysia yang disempurnakan presidennya, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Madius dalam ucapannya berkata, hari ini adalah satu lagi hari bersejarah dalam perjuangan UPKO dengan membuka lembaran baru dalam perjuangan politik yang menjurus kepada politik pembangunan iaitu suatu gagasan perjuangan politik yang bercirikan global dan inklusif.
Katanya, UPKO kini sudah bertukar wajah dan berubah daripada politik perkauman kepada politik aspirasi rakyat berbilang kaum.
“Lembaran perjuangan baru ini, adalah kesinambungan perjuangan UPKO yang pragmatis, dinamik dan dipacu oleh denyutan nadi rakyat yang dahagakan perubahan dan kemajuan.
“UPKO dan barisan kepimpinan sebelum ini mengharungi pelbagai cabaran namun berjaya meneruskan perjuangan dengan kebijaksanaan dan pengorbanan,” katanya ketika berucap pada majlis Madius pelancaran yang dipaparkan secara langsung menerusi laman facebook UPKO Malaysia.

Madius berkata, pelancaran lembaran baharu jenama UPKO itu juga menjadi satu tanggungjawab besar baginya tambahan lagi ianya dibuat secara online.
“Terletak dibahu saya pada petang ini satu tanggungjawab yang berat iaitu untuk melancarkan lembaran jenama UPKO yang baru ini.
“Tambahan pula, pelancaran ini kita lakukan secara ‘online’ sejajar dengan kehidupan norma baru iaitu dengan mengamalan penjarakkan sosial secara fizikal sebagai usaha untuk memerangi wabak Coronavirus yang melanda dunia pada masa ini,” katanya.
Menurutnya, pelancaran secara ‘online’ ini melambangkan satu penghijrahan dari fizikal kepada maya yang dimungkinkan oleh teknologi digital dan inovasi.
“Sekaligus, ia memberi isyarat secara langsung bahawa rakyat jelata juga perlu berhijrah ke era teknologi digital dalam menjalankan hidup seharian kita.
“Pada masa yang sama, pelancaran jenama baru UPKO ini juga dibuat pada ketika bermulanya kemelesetan ekonomi dunia yang dikatakan kemelesetan paling teruk yang belum pernah dialami sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, penjenamaan semula UPKO adalah satu langkah besar dibuat parti itu khususnya dengan pelbagai persoalan berbangkit oleh pelbagai pihak.
“Penjenamaan ini adalah suatu perubahan besar bagi UPKO. Sudah tentu pelbagai persoalaan terbangkit. Kenapakah UPKO dijenamakan semula? Apakah sebabnya? Apakah matlamatnya? Apakah halatuju UPKO yang baru, dan sebagainya.
“Sebenarnya, langkah memperbaharui prinsip asas UPKO bermula dengan satu resolusi dalam Persidangan Tri-tahunan UPKO pada Oktober 2018,” katanya.
Madius berkata, hasil kajian membuktikan rata-rata ahli UPKO dan rakyat jelata memberi pandangan positif untuk mewujudkan perjuangan yang menjurus kepada prinsip asas yang lebih inklusif.
“Akhirnya, selepas mendapat persetujuan, kami mengangkat cadangan perubahan berkenaan kepada Persidangan Luar Biasa untuk meminda perlembagaan parti untuk pertimbangan perwakilan.
“Syukur apabila para perwakilan memberi sokongan padu, dan selepas itu, kami mengangkat inisiatif ini untuk kelulusan pendaftar pertubuhan,” katanya lagi.
Tamat




