KDN Kenalpasti 37 Titik Pendaratan Warga Asing Di Sabah. – Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Pix By: CV Chong

Kota Kinabalu: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenalpasti 37 titik pendaratan warga asing membabitkan 10 daerah di negeri ini untuk Ops Benteng Covid yang dilancarkan sejak April lalu.

Semua titik pendaratan itu membabitkan 11 kawasan di Sandakan, lima kawasan di Lahad Datu, empat kawasan di Daerah Tawau, Kudat dan Beluran.

Manakala lain-lain kawasan yang turut dikenalpasti adalah dua kawasan di Kota Kinabatangan dan Kota Marudu serta masing-masing satu di Semporna dan Pitas.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara bersepadu dalam ‘National Task Force‘ (NTF) bersama agensi lain yang diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia.

Katanya, tujuan utama operasi berkenaan dijalankan adalah bagi menyekat kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan memperkukuhkan kawalan sempadan negara bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

“Kawalan sempadan ini dilakukan di dua lokasi sempadan daratan iaitu lorong tikus dan lokasi lain yang dikenalpasti menjadi tempat daratan PATI.

“Sepanjang operasi Op Benteng Covid ini, seramai 556 anggota dan pegawai dikerah bagi menjalankan tugasan pemantauan,” katanya pada sidang media selepas melakukan pemantauan di Pusat Tahanan Sementara, Manggatal, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, kejayaan operasi ini jelas terbukti dengan hanya tiga kes cubaan meloloskan diri masuk ke sempadan negara dikesan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hamzah memberitahu, sebanyak 14 projek pembangunan fizikal diteruskan dalam fasa pembinaan membabitkan nilai kos RM1 bilion.

Katanya, ia selari dengan inisiatif KDN yang memfokuskan kerja-kerja naiktaraf dan ubahsuai serta penambahan fasiliti sedia ada.

“Sebanyak RM12,996,570 diperuntukkan untuk tujuan itu merangkumi pembaikan kuarter dan pejabat serta stor JSJ dan JSJN.

“ Pada April lalu, Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta dibawah peruntukkan Pakej Ransangan Ekonomi (PRE) Prihatin bagi kerja naiktaraf semua agensi di bawah KDN,” katanya.

Hamzah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM31,081,499 diperuntukkan kepada agensi di Sabah.

Untuk rekod, peruntukkan berkenaan membabitkan RM27,609,700 kepada PDRM, Penjara (RM2,889,299), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (RM53,500) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (RM530,000).

Tamat