Lima Ditahan Dan 26 Saman Dikeluarkan Op Mabuk IPD Penampang.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Penampang: Lima pemandu mabuk ditahan manakala 26 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang operasi sekatan jalan, hari ini.

Dalam operasi jam 12 tengah malam itu, sekatan jalan dikendalikan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Penampang dengan kerjasama Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah.

Operasi dijalankan di kedua-dua arah Jalan Penampang – Kota Kinabalu berhampiran SMK Bahang, di sini, yang berakhir awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi berkenaan adalah kesinambungan Op Mabuk yang diadakan sebelum ini.

Katanya, ia bagi mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang motosikal dibawah pengaruh alkohol.

“Sebanyak 26 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan manakala seramai lima pemandu lelaki ditahan kerana memandu dalam keadaan mabuk.

“Semua yang ditahan dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM1,000.00 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

Katanya, operasi seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa demi keselamatan pengguna jalan raya.

Tamat