
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Sumbangan yang dicurahkan barisan ‘frontliners’, ketua kampung dan sukarelawan sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak fasa pertama, Mac lalu, amat bermakna kepada seluruh masyarakat.
Namun, disebalik keprihatinan dan penghargaan daripada kerajaan, sumbangan mereka turut mendapat perhatian daripada syarikat dan masyarakat awam.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Marmaz Group Holdings Group, Datuk Seri Dr Marajoh Unding berkata, pengorbanan mereka sepanjang PKP dilaksanakan wajar dihargai dan diiktiraf oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya, walau risiko terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19 kerana perlu bergerak setiap hari bagi menjaga keselamatan ataupun mengagihkan bantuan makanan, namun mereka tetap menjalankan kewajipan masing-masing.
“Biarpun kita sedar akan risiko itu namun, jika tiada gerak kerja daripada sukarelawan, usaha agihan bantuan makanan tidak akn dapat dilakukan.
“Begitu juga dengan frontliners yang berdepan pelbagai cabaran dan risiko sudi dalam menjaga keselamatan sepanjang tempoh PKP,” katanya ketika ditemui pada Majlis Seluhur Kasih, Sekalung Budi, anjuran syarikat Marmaz Group Holdings Group, di sini, malam tadi.

Pada majlis berkenaan, seramai 113 penerima terdiri daripada barisan ‘frontliners’, wakil kampung dan sukarelawan yang bertungkus-lumus sepanjang proses agihan bantuan syarikat berkenaan diraikan bersama.
Marajoh berkata, sepanjang proses pengagihan bantuan makanan yang dilakukan syarikat itu, pihaknya amat bertuah kerana dibantu oleh mereka yang amat berani dan cekap dalam menjalankan tugasan masing-masing.
Katanya, pihaknya turut menyediakan penutup hidung dan mulut serta sanitizer agar mereka terus yakin dan merasa selamat untuk bertugas sepanjang PKP.
“Sesungguhnya, segala jasa dan bakti mereka yang terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Covid 19 sepanjang PKP 1 hingga PKP 4 yang lalu amat besar.
“Bantuan mereka yang terlibat akan dikenang sebagai satu sumbangan yang amat dihargai. Semoga kerjasama dan sokongan padu seperti ini akan berterusan di masa akan datang,” katanya,
Tamat.








