
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Belud: Tiga maut manakala seorang lagi parah dalam kejadian kemalangan membabitkan sebuah lori pasukan tentera yang terbabas di Jalan Ranau – Tamparuli, jam 12.50 tengah hari tadi.
Difahamkan, semua anggota yang terbabit adalah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) Sandakan.
Mereka yang dilaporkan maut adalah Maslim Abdul Rahim, Mohamad Firdaus Mat Izan dan Muhammad Arif Idris.
Manakala mangsa yang parah Vincent M Orel kini menerima rawatan lanjut di Hospital Ranau.
Semua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari Mawilla 2 Sandakan ke Kota Kinabalu.
Difahamkan, setakat ini, pasukan polis masih berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kemalangan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.03 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) serta pacuan empat roda untuk membantu operasi.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori ( TLDM) yang terbabas sendiri.
“Pasukan Bomba bertindak mengalihkan mangsa dari lokasi kemalangan dan terdapat empat orang mangsa terlibat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, satu mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Ranau menggunakan EMRS Bomba.
Manakala tiga lagi mangsa tidak sedarkan diri yang dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya.
Tamat





