Wanita Maut Diserang Buaya.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Tawau: Aktiviti seorang wanita di Sungai Tuda, Kalabakan, di sini, berakhir tragedi apabila dia maut diserang buaya, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa Nurhayati Talib, 50-an, dipercayai mandi di sungai berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa yang juga warga asing itu dikatakan diserang secara tiba-tiba oleh reptilia berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.38 pagi.

Katanya, seramai lima anggota dikerah ke lokasi kejadian menaiki sebuah kenderaan utiliti Toyota Hilux.

“Sebaik tiba dilokasi kejadian pada jam 1.45 petang, mayat mangsa sudah ditemui oleh penduduk kampung.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut tiba dilokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 2.10 petang.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi JBPM menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada semasa melakukan sebarang aktiviti seperti memancing di sungai yang kebanyakan mempunyai habitat buaya.

Katanya, aktiviti mandi-manda di sungai juga amat tidak digalakkan kerana dibimbangi risiko serangan buaya.

Tamat