
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Kota Kinabalu: Polis sudah menahan lapan individu membabitkan kes pergaduhan hingga menyebabkan seorang peniaga maut dalam pergaduhan di sebuah kedai runcit di Kampung Pulau Penampang, Jalan Sulaman, di sini, petang semalam.
Selain itu, polis turut memburu dua lagi lelaki yang masih bebas dipercayai terbabit dalam kes pergaduhan berpunca akibat pertikaian baki RM5.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua yang ditahan membabitkan empat lelaki dan empat wanita dibeberapa lokasi berasingan bermula jam 7 malam hingga 9.20 malam tadi.
Katanya, dua lagi suspek lelaki yang terbabit masih bebas dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan.
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun datang ke kedai runcit mangsa untuk membeli dua botol air mineral dengan harga RM2.
“Mangsa kemudian mengembalikan baki sebanyak RM3 kepada kanak-kanak itu. Namun sebaik sampai di rumah, ibunya berang hati kerana sepatutnya baki adalah sebanyak RM8.
“Ibu kanak-kanak terbabit terus pergi ke runcit mangsa sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka. Ketika itu, mangsa yang maut menyatakan wang diberikan oleh anaknya hanyalah RM5,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, tidak cukup dengan itu, bapa kepada kanak-kanak terbabit pula datang ke kedai runcit dan berlaku pula pertengkaran mulut dengan peniaga berkenaan.
Katanya, bapa kanak-kanak itu bertindak menumbuk dada dan kepala peniaga terbabit berkali-kali serta turut memukulnya menggunakan batang besi.
“Isteri peniaga yang melihat kejadian itu, terus memukul kepala bapa kanak-kanak berkenaan menggunakan kayu menyebabkannya cedera parah.
“Bapa kanak-kanak itu kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan manakala peniaga terbabit masih berada di lokasi kejadian dan mengadu sakit dada.
“Difahamkan, sebaik ambulans bergerak, dua suspek lelaki (masih bebas) bertindak menyerang mangsa menggunakan batang paip serta kayu menyebabkan mangsa rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.
Menurutnya, dua suspek terbabit kemudian terus melarikan diri manakala mangsa diangkat masuk ke dalam kedai runcitnya sebelum pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia jam 4.49 petang.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian menemui tiga batang kayu dan satu batang paip plastik yang dipercayai digunakan oleh suspek yang masih bebas.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Difahamkan, mangsa lelaki berusia 58 tahun itu menghidap penyakit jantung dan masih menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth.
tamat






