KEMPEN DERMA DARAH DI KAMPUNG DARAU LAUT, MANGGATAL AHAD INI

Presiden Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah) Alix Sunggin

KOTA KINABALU: Masyarakat sekitar terutamanya kawasan Manggatal berpeluang menjalankan tanggungjawab sosial dengan hadir menderma darah di Balai Raya Kampung Darau Laut, di sini, Ahad ini.

Program anjuran Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Parti Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) Sepanggar akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga jam 1 petang.

Presiden Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah) Alix Sunggin berkata, anjuran kali ini mendapat kerjasama daripada Pemuda UPKO Bahagian Sepanggar dan dibantu oleh Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth Dua.

Katanya, bekalan darah diperlukan kerana ketika ini ia amat kritikal disebabkan pandemik covid-19 yang menyerang seluruh negara termasuk di negeri iniz

“Marilah kita bersama-sama menunaikan tanggungjawab sosial bagi membantu pihak hospital mendapatkan bekalan darah, ketika ini bekalan darah bertambah kritikal lebih-lebih lagi selepas pandemik covid-19 ”.

“Kami juga telah menyediakan saguhati berupa beras satu pek beras 5kg dan Satu try telur kepada 30 orang penderma terawal,”kata Alix ketika dihubungi, hari ini.

Alix berkata, pihak Pendarah amat berterima kasih kepada pelbagai pihak yang tampil membantu termasuk UPKO Sepanggar yang menderma 30 kampit beras untuk disumbangkan kepada penderma terawal.

“Pendarah amat gembira kerana banyak pihak termasuk UPKO selalu menjemput kami untuk bekerjasama mengadakan kempen derma darah,” katanya.

TAMAT