13 Warga Asing Ditahan

Seramai 13 warga asing ditahan dalam sekatan jalan di Jalan Pekan Kalabakan, semalam.

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TAWAU: Keadaan lebihan muatan dua pacuan empat roda yang cuba melepasi sekatan jalan di Jalan Pekan Kalabakan, di sini, akhirnya membawa kepada penahanan 13 warga asing, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, semua individu berusia 10 hingga 49 tahun terbabit ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, semua warga asing terbabit ditahan dalam penugasan dan penguatkuasaan Op Benteng Covid di jalan berkenaan.

Katanya, ketika sekatan jalan dijalankan, dua kenderaan pacuan empat roda yang sarat dengan muatan dilihat mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

“Kedua-dua kenderaan berkenaan kemudiannya didapati dinaiki seramai 13 penumpang dan hasil pemeriksaan semua individu terbabit gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan kedua-dua pemandu pacuan empat roda berkenaan pula adalah warga tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Mohd Yacob berkata, hasil siasatan awal, semua individu berkenaan mendakwa bekerja di sektor perladangan di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran.

Katanya, semua individu terbabit kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

Tamat