
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
PENAMPANG: Tiga pemandu ditahan dan 80 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya Op Mabuk di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang, Jalan Kota Kinabalu-Penampang, di sini, semalam.
Dalam operasi bermula jam 9 malam itu, polis yang menjalankan pemeriksaan terhadap 95 individu mendapati ketiga-tiga pemandu terbabit memandu dalam keadaan mabuk.
Ketiga-tiga suspek kemudiannya ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 24 saman atas pelbagai kesalahan.
Katanya, antara kesalahan lain yang dikesan selain mabuk adalah memandu tanpa lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
“Hasil pemeriksaan, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk.
“Selain itu, sebanyak 24 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk enam daripada tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Haris berkata, polis IPD Penampang akan terus menggandakan operasi serta pemeriksaan menerusi pelaksanaan Op Mabuk itu dalam usaha membanteras pengambilan alkohol dalam kalangan pemandu.
Tamat







