44 Ditahan Op Sarang IPD Kota Kinabalu


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menahan seramai 44 individu termasuk empat wanita dalam Op Sarang yang dijalankan, semalam.

Dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menyerbu 20 lokasi di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua yang berjaya ditahan berusia lingkungan 15 hingga 56 tahun.

Katanya, mereka adalah sebahagian daripada 105 individu yang diperiksa dalam operasi di kawasan ‘panas’ termasuk penempatan setinggan atas air dan kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Tujuh individu ditahan dalam operasi itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seramai 12 lagi individu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta sama.

“Manakala 25 lagi individu selebihnya ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif dadah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,353 dan dadah jenis syabu seberat 13.53 gram.

Katanya, Op Sarang dilancarkan berdasarkan risikan dan maklumat orang awam bagi membendung kegiatan penyalahgunaan dadah dan sekali gus mengambil tindakan ke atas sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan terbabit.

“Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu akan terus diperhebat demi kesejahteraan masyarakat di daerah ini,” katanya.

Tamat