
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
PAPAR: Seorang remaja berusia 17 tahun antara dua yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam serbuan di sekitar daerah ini, semalam.
Seorang lagi yang ditahan dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu adalah lelaki berusia 21 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, kedua-dua suspem ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.
Katanya, ketika ujian saringan air kencing dijalankan terhadap mereka, kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphethamine.
“Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang suspek turut memiliki 50.25 gram syabu.
“Kedua-dua suspek terus ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Batholomew berkata, kedua-dua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala bagi suspek memiliki syabu turut disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama.
Sehubungan itu, Batholomew berkata, tangkapan itu adalah salah satu usaha pihaknya untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah itu.
“Disamping itu, usaha ini dilakukan bagi memastikan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi penduduk setempat.
“Oleh itu, orang ramai diminta terus memaklumkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing untuk diambil tindakan,” katanya.
Tamat




