
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
KOTA KINABALU: Empat individu yang menceroboh kawasan pelantar minyak Malikai, di sini, ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, keempat-empat lelaki berusia antara 25 hingga 48 tahun ditahan selepas didapati melakukan aktiviti memancing di kawasan terbabit.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan AK Lageh berkata, tangkapan berjaya dilakukan dalam Op Gelora Khas dan Op Benteng COVID-19 di kawasan berkenaan.
Katanya, semua empat individu berkenaan yang menaiki dua bot itu ditahan di kawasan perairan pelantar minyak berkenaan.
“Dua lelaki dilihat memancing ikan menggunakan sebuah bot tidak bernombor berhampiran pelantar minyak Malikai manakala sebuah lagi bot juga tidak bernombor diikat pada tiang platform pelantar minyak itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, empat individu itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Enturan berkata, dua bot berkenaan kemudiannya ditunda ke pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM37,370 dan kes disiasat mengikut Seksyen 7, Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
”Jika didapati bersalah, keempat-empat lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Tamat






