Gagal Patuhi SOP, Pemilik Premis Di Kompaun.

Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

BEAUFORT: Kegagalan seorang pemilik premis pasar mini menyediakan alat pengukur suhu badan di premis perniagaannya di Kampung Bingkul, di sini, membawa padah apabila dikenakan kompaun, semalam.

Dalam operasi jam 11 pagi itu, peniaga wanita berusia 43 tahun itu dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Beaufort Azmir Abd Razak berkata, pemeriksaan berkenaan dijalankan sepasukan anggota Pasukan Pemantau Pematuhan PKPP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Katanya, premis berkenaan didapati gagal mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

“Premis ini tidak menyediakan alat pengukur suhu badan kepada pelanggan yang berkunjung ke premisnya itu.

“Peniaga berkenaan kemudian diminta hadir ke IPD Beaufort untuk surat kompaun dan tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, kes disiasat mengikut peraturan 11(2) Peraturan-peraturan Penyakit Berjangkit (PPPPB) No 7, 2020.

Katanya, polis akan terus mengambil tindakan mengenakan kompaun kepada pesalah sepanjang fasa PKPP ini.

tamat