
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Labuan: Laporan yang mendakwa seorang wanita hamil lima bulan disamun dua lelaki, Selasa, lalu, ternyata hanya rekaan apabila siasatan polis mendapati tiada sebarang insiden jenayah berlaku.
Wanita berusia 33 tahun itu akhirnya mengaku kecederaan yang dialaminya adalah akibat terjatuh sendiri semasa berada di dalam tandas restoran berkenaan.
Lebih perit lagi, wanita itu turut mengaku wang sebanyak RM4,000 milik suaminya itu sebenarnya habis digunakan untuk aktiviti perjudian dalam talian.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pada awalnya, sebaik menerima laporan, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis turut menubuhkan pasukan operasi khas untuk mengesan dua suspek yang didakwa masih bebas.
“Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut mendapati tiada sebarang pengeluaran wang tu ai oleh mangsa di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Labuan hari berkenaan.
“Pada tarikh 21 Julai lalu, wanita terbabit tidak ada melakukan sebarang transaksi pengeluaran wang sebaliknya hanya memasukkan wang ke dalam akaunnya sendiri,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Muhamad Farid berkata, siasatan seterusnya mendapati, mangsa berjalan di sekitar Pekan Baru dan pergi ke lorong belakang restoran berkenaan untuk menggunakan tandas.
“Mangsa kemudiannya mengaku terjatuh sendiri semasa berada dalam tandas kerana berasa pening dan keluar berjalan untuk meminta bantuan daripada pekerja restoran berkenaan,” katanya.
Muhamad Farid berkata, berdasarkan siasatan, mangsa didapati memberi keterangan palsu kepada pihak polis yang menjalankan siasatan.
“Perbuatan memberi keterangan palsu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai enam (6) bulan, atau denda boleh sampai dua (2) ribu ringgit, atau kedua-duanya sekali.
“Justeru PDRM menggesa orang ramai supaya menghentikan sebarang bentuk penyebaran berita, artikel, kenyataan yang tidak sahih atau tidak tepat yang boleh mendatangkan perasan takut atau kegusaran awam,” katanya.
Tamat








