PPM LABUAN TAHAN BOT PUKAT TUNDA MELANGGAR AKTA PERIKANAN 1985


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan menahan sebuah bot pukat tunda selepas didapati menggunakan peralatan melanggar syarat lesen di perairan Pulau Tiga, Kuala Penyu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, bot berkenaan berjaya dikesan oleh botronda PPM yang sedang menjalankan tugas rondaan Op Gelora Khas.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Persekutuan Labuan, Asisten Superintendan Mohamad Ismail berkata, pihaknya menahan dan memeriksa bot pukat tunda itu bersama enam orang termasuk juragan bot.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot pukat tunda berkenaan melanggar syarat lesen kerana menggunakan mata pukat (kerocong) kurang dari 38 mm.

“Selain itu, bot berkenan ditahan bersama pukat dan hasil tangkapan ikan pelbagai jenis lebih 15 kilogram keseluruhannya.

“Bot berkenaan kemudiannya diiringi masuk ke jeti Jabatan Perikanan Kuala Penyu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.


Mohamad berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Kuala Penyu dan kes diserahkan ke Jabatan Perikanan Kuala Penyu untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil nilai rampasan pukat dan pelbagai jenis ikan dianggarkan berjumlah RM1,450 dan kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen kerana menggunakan mata pukat kurang dari 38 mm.

Tamat