TUKAR NAHKODA TIDAK SAH – BOT PENUMPANG DITAHAN APMM


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau menahan sebuah bot penumpang tempatan selepas dipercayai melanggar syarat sah lesen, semalam.

Dalam pemeriksaan jam 5.30 petang itu, bot penumpang berkenaan dipercayai menukar Nahkoda secara tidak sah dan disyaki melanggar kesalahan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.

Pengarah APMM Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, semasa bot peronda Maritim Malaysia melakukan rondaan Operasi Pluto Timur 2/2013 di kawasan perairan laut Semporna, pihaknya terserempak dengan sebuah bot penumpang tempatan.

Katanya, bot penumpang berkenaan yang didaftarkan di Semporna kemudiannya ditahan untuk pemeriksaan di kedudukan 0.3 batu nautika barat Pulau Menampilik.

“Pemeriksaan awal mendapati, terdapat seorang juragan berusia 41 tahun warga Filipina yang juga pemegang kad pengenalan sementara.

“Selain itu, turut ditemui seorang awak-awak dan seorang penumpang masing-masing berusia 20 tahun dan 24 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Siva berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati juragan yang sedang menjalankan aktiviti pengangkutan laut di sekitar kawasan perairan laut Semporna gagal mengemukakan sebarang dokumen pertukaran nakhoda yang sah.

Katanya, semua individu terbabit ditahan dan bot diiring balik ke Jeti Pelancongan Semporna untuk siasatan lanjut.

“Bot berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 iaitu gagal mengemukakan dokumen dan melaporkan pertukaran nakhoda.” katanya.

Sehubungan itu, Siva berkata, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras.

Katanya, usaha itu juga bertujuan untuk mengurangkan salah laku bagi untuk terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau selamat, aman dan terkawal.

“Sebarang aduan kecemasan dan maklumat jenayah di perairan Tawau boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di talian 089-752115 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” tegasnya.

Tamat