
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu lagi cubaan menyeludup minuman keras membabitkan nilai keseluruhan RM8,850 termasuk cukai di perairan pulau berkenaan, semalam.
Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, hasil risikan operasi Op Benteng Covid-19, sepasukan PPM berjaya mengesan sebuah bot laju yang sedang dalam perjalanan menuju ke Menumbok, di sini.
Sebaik berjaya dipintas, bot yang dikendalikan seorang lelaki berusia 30-an itu didapati membawa minuman keras.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM, Wilayah Persekutuan Labuan Asisten Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati semua minuman keras berkenaan belum lulus cukai.
Katanya, seorang lelaki berusia 30-an yang juga juragan bot laju berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan atas kesalahan menyeludup barangan tanpa cukai.
“Semua minuman keras pelbagai jenama berkenaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM8,850.00 termasuk cukai.
“Turut dirampas bot laju kargo bersama enjin sangkut Yamaha 200hp yang digunakan untuk membawa barang seludup berkenaan,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohamad Ismail berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM74,850 berdasarkan harga pasaran semasa.
Katanya, tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM WP Labuan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“Penyeludupan minuman keras dan rokok sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.
“Pasukan Polis Marin sentiasa mengalu-alukan orang awam khususnya masyarakat maritim supaya sentiasa menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam sama-sama membantu menjaga keamanan negara khususnya di perairan Sabah,” katanya.
Tamat.




