Wanita Warga Asing Ditahan Bersama Dadah


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

Lahad Datu: Seorang wanita warga asing ditahan selepas didapati memiliki dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Dewata, Jalan Silam, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, yang bertindak atas maklumat turut menahan tuan rumah berkenaan selepas didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, ketika serbuan dijalankan, polis menenui seorang wanita berusia 42 tahun sedang duduk di ruang tamu rumah.

Katanya, sebaik memperkenalkan diri, polis terus membuat pemeriksaan sebelum suspek mengeluarkan satu bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu.

“Di hadapan suspek dan disaksikan anggota operasi, pemeriksaan mendapati paket plastik berkenaan mengandungi 21 paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu.

“Pemeriksaan lanjut sekitar kawasan rumah tidak menjumpai apa-apa barang salah dan suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke IPD Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Nasri berkata, ujiangan saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek bagaimanapun didapati negatif.

Katanya, dadah yang dirampas adalah seberat 5.11 gram yang dianggarkan bernilai RM511 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Tamat