
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass, hari ini, membuat kunjungan hormat perpisahan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Beliau dijadualkan melapor diri ke bahagian Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, 21 Ogos depan selepas dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis Sabah sejak Februari lalu.
Zaini berkata, beliau amat berterima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kerajaan negeri sepanjang bertugas di negeri ini.
Katanya, Sabah adalah antara negeri yang terbaik yang beliau pernah berkhidmat dan memberi banyak peluang untuk menimba pengalaman.
“Saya rasa Sabah ini antara negeri yang terbaik untuk berkhidmat kerana dari segi perkhidmatan, negeri Sabah ini mempunyai cabaran yang lebih besar.
“Sabah negeri yang sangat luas kerana perjalanan untuk pergi ke daerah ke daerah mengambil masa yang panjang. Itu satu cabaran, apatah lagi kawasan sempadan yang luas dari segi laut dan darat,”katanya ketika ditemui selepas membuat kunjungan hormat berkenaan.
Untuk rekod, Datuk Zaini Jass mula bertugas di negeri ini sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah sejak 19 November tahun lalu.
Beliau kemudiannya dilantik menggantikan mantan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah pada ketika itu yang bersara wajib.
Tamat.







