
Fardy Bungga
asiatimesrp@hotmail.com
Keningau: Seorang wanita berusia 40 tahun terselamat selepas rumahnya di Kampung Durok, di sini, musnah terbakar, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, wanita yang dikenali sebagai Jane terbabit mengalami kecederaan melecur di tangan ketika cuba menyelamatkan diri keluar daripada rumahnya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.59 pagi menerusi talian Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999).
Katanya, kebakaran membabitkan rumah dua tingkat berkeluasan 222 meter persegi yang musnah seratus peratus.
“Sebaik tiba dilokasi kejadian yang terletak kira-kira 4 kilometer dari balai bomba Keningau, operasi segera dimulakan untuk mengawal api kebakaran daripada terus merebak ke rumah berhampiran.
“Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I Jasree Mohammad bersama 12 anggota dengan kekuatan tiga jentera dan sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Service (EMRS) serta sebuah kenderaan utiliti pelbagai guna,” katanya.
Menurutnya, terdapat seorang mangsa wanita yang cedera ringan melecur di bahagian tangan semasa menyelamat diri.
Katanya, wanita terbabit diberikan rawatan oleh pasukan EMRS dan dihantar ke Hospital Keningau oleh pihak perubatan untuk rawatan susulan.
“Pasukan bomba berjaya mengawal api kebakaran pada jam 12.30 tengah hari sebelum tamat sepenuhnya pada jam 1.05 petang.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bahagian Penyiasatan Zon 4 Sabah (Keningau),” katanya.
Tamat





