Hazani Akan Bawa Impak Positif Di Sabah-Timbalan KPN


KOTA KINABALU: Perlantikan Datuk Hazani Ghazali sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, dilihat akan memberi impak positif dalam pentadbiran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah.

Berbekalkan pengalamannya sebagai bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), ia sekaligus membuktikan beliau amat memahami negeri ini secara keseluruhannya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pemilihan Hazani untuk memegang tampuk PDRM di Sabah bukan perkara asing kerana rakyat di negeri ini sudah mengenalinya sejak beliau menjawat jawatan sebagai Komander ESSCOM.

Katanya, tanggungjawab yang digalas sebelum ini amat penting terutamanya dalam memastikan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sentiasa terpelihara.

“Beliau bukan orang yang asing bagi negeri Sabah. Datuk Hazani pernah menjawat jawatan Komander ESSCOM, salah satu tanggungjawab penting di negeri ini.

“Sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah, tanggungjawab itu bukan saja untuk memastikan kawasan ESSZONE selamat, bahkan seluruh negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah antara Datuk Hazani Ghazali yang mengantikan Datuk Zaini Jass dan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Zaini yang dipindahkan ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman berkuatkuasa hari ini.

Acryl berkata, beliau percaya dengan pengalaman sepanjang menjawat jawatan Komander ESSCOM akan membantu Hazani untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.

Sementara itu, Hazani dalam ucapannya berkata, beliau akan meneruskan misi dan visi yang disusun atur oleh mantan Pesuruhjaya Polis, Datuk Zaini Jass.

Selain itu katanya, beberapa penambahbaikan akan dilakukan termasuk kajian berkaitan taburan jenayah yang berlaku di negeri ini.

“Saya juga akan memberi fokus kepada sindiket dadah yang berleluasa di Sabah kerana negeri ini kebiasaannya dijadikan pusat transit sindiket dadah mengedar ke negara jiran terutamanya Indonesia dan Filipina.

“Begitu juga dengan memberi fokus kepada ketua atau dalang sindiket serta penyeludupan dan saya akan pastikan fail kes dibuka dan tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.

Hazani berkata, beliau juga akan meneruskan kerjasama dengan mengekalkan keselamatan dan kesiapsiagaan di kawasan ESSZONE.

“Kita berharap Komander ESSCOM yang baharu akan terus memberi sokongan untuk bersama-sama menggerakkan semula dan perkemaskini semula untuk penentuan operasi yang bakal dilaksanakan,” katanya.

Tamat