
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan perkara mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, esok
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, ia termasuk membincangkan mengenai beberapa keperluan penugasan dan perincian lain selaras dengan norma baharu ekoran penularan COVID-19 di negara ini.
Katanya, ia juga bagi mendapatkan taklimat daripada SPR untuk memudahkan PDRM memperhalusi segala penugasan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kita perlu membuat perancangan awal mengikut kepada keperluan semasa termasuk penugasan berdasarkan SOP ditetapkan.
“Polis Sabah juga akan mendapatkan bantuan anggota dan pegawai polis daripada Semenanjung dan Sarawak sepanjang PRN Sabah,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sementara itu, mengulas mengenai perjumpaan dengan Mohd Shafie, Hazani berkata ia bertujuan untuk menyampaikan misi dan visi beliau sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu.
Katanya, dalam perjumpaan itu, beliau menekankan mengenai intregriti pegawai dan anggota di seluruh Sabah.
“Saya mahu pastikan semua anggota dan pegawai polis bersikap jujur, amanah dan memberi layanan yang baik kepada masyarakat.
“Selain itu saya misi dan visi saya adalah untuk membanteras aktiviti penyeludupan, jenayah bersindiket, dadah dan perjudian di negeri ini,” katanya.
Tamat







