
TELUPID : UPKO Bahagian Beluran di kawasan DUN Telupid kekal kukuh walaupun seorang ahli Generasi Muda UPKO mengisi borang keahlian PPBM.
Setiausaha Penganjur Pergerakan Generasi Muda Bahagian, Alvein Dee dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menyangkal dakwaan bahawa seramai 200 ahli UPKO dan Warisan turut berpindah masuk parti itu.
Katanya, sehingga ke hari ini, UPKO Beluran tidak menerima 200 surat letak jawatan seperti yang digembar-gemburkan.
“PPBM tidak sepatutnya mendidik belia Telupid dengan cara berbohong kepada rakyat. Satu Malaysia melihat gambar yang diviralkan dan juga yang dilaporkan dalam stesen TV tempatan.
“Sebaliknya, hanya satu borang yang diserahkan, tetapi yang diumum kononnya 200 ahli baru. Ini umpama satu unsur penipuan dan kebudak-budakan,” katanya kepada media, hari ini.
Alvein berkata, Pemimpin parti PPBM Beluran yang menjawat jawatan tinggi di Kerajaan Persekutuan seharusnya datang ke Telupid untuk menyelesaikan isu yang jauh lebih penting seperti isu masalah bekalan air, bukan hanya berpolitik semata-mata.
“Ini termasuk isu utama seperti masalah tanah dan pembangunan asas yang perlu ditangani.
“UPKO Telupid semakin kukuh dan akan terus memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi dalam kerajaan campuran Sabah”
“Saya menghormati keputusan saudara Donnysius Salati untuk tidak lagi bersama Generasi Muda UPKO. Beliau merupakan sahabat saya dan saya ucapkan selamat maju jaya kepadanya,” katanya.
Alvein berkata, buat masa ini, Bahagian belum mendapat apa-apa pemberitahuan secara rasmi atau bertulis daripada
donnysius.
Namun katanya, apa yang jelas Pergerakan Generasi Muda UPKO Beluran tidak terjejas malah semakin utuh dan lebih bersemangat.
“Saya yakin UPKO akan diberikan kepercayaan untuk bertanding di DUN Telupid. Kerjasama dan persefahaman di kalangan parti gabungan UPKO, Warisan, PKR dan AMANAH semakin akrab di Dun Telupid,” katanya.
Tamat






