Perkhidmatan Cekap Pos Malaysia

PUTATAN: Pembukaan Pusat Serahan Lok Kawi menambah baik kecekapan dan membantu melicinkan operasi Pos Malaysia di negeri ini.

Ini berikutan, kadar penghantaran barangan orang ramai meningkat secara mendadak terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak beberapa bulan lalu.

Pengurus Pos Malaysia Sabah dan Wilyah Persekutuan Labuan, Soimon Sinit berkata, Pusat Serahan ini dibuka pada 13 Julai lalu sebagai hub untuk penghantaran ke seluruh Sabah terutamanya di kawasan pantai barat.

Katanya, sebelum ini kita berpusat di Kota Kinabalu yang sememangnya sangat padat dan sesak.

“Tetapi sejak kita pindah ke sini, ia banyak membantu mempercepatkan pergerakan penghantaran barang ke seluruh Sabah.

“Ia lebih cepat 40 minit berbanding dengan kedudukan kita di Kota Kinabalu sebelum ini jadi kita boleh mengelak kesesakan lalu lintas di sepanjang jalan,” katanya.

Pengurus Pos Malaysia Sabah dan Wilyah Persekutuan Labuan, Soimon Sinit

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Hari Merdeka di Pusat Serahan Lok Kawi, di sini, hari ini.

Soimon berkata, pusat serahan itu berfungsi untuk melakukan serahan untuk kawasan sekitar Bongawan, Membakut, Penampang, Putatan dan Kapayan.

Katanya, perlantikan seramai 230 ejen penghantar separuh masa amat membantu melakukan penghantaran dengan lebih cepat.

“Jumlah permintaan penghantaran barang yang tinggi menyebabkan kita terpaksa gunakan ejen separuh masa untuk percepatkan serahan,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai majlis hari ini, Soimon berkata, sambutan itu diadakan setiap tahun dan kali ini dibuat serentak dengan Pejabat Pos di Kota Kinabalu.

“Hari ini kira-kira 200 kakitangan Pos Malaysia hadir menyemarakkan bulan kebangsaan. Tujuan penganjuran adalah untuk menunjukkan kesetiaan kepada negara.

“Ini juga membuktikan walaupun kami sibuk tetapi masih berkesempatan meluangkan masa meraikan hari kebangsaan setiap tahun,” katanya,

Soimon berkata, acara ini juga diadakan dalam usaha untuk menanam kesedaran di kalangan kakitangan betapa pentingnya sambutan ini,” katanya.

tamat