46 Individu Ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kota Kinabalu.


KOTA KINABALU: Seramai 46 individu yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berjaya ditahan dalam operasi selama seminggu di sekitar daerah ini yang berakhir, Jumaat lalu.

Dalam serbuan berkenaan, seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah di Kampung Padas, di sini, turut berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi itu menumpukan beberapa kawasan sekitar yang dikenalpasti menjadi sarang penagihan dadah.

Katanya, hasil serbuan itu, polis berjaya menahan seorang pengganggur lelaki dan merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 5.22 gram.

“Ketika cuba ditahan, suspek bertindak agresif dengan merempuh dinding kayu sebelum terjun dari rumahnya untuk melarikan diri.

“Namun kecekapan pasukan polis berjaya menahan suspek dan pemeriksaan di bilik suspek membawa kepada penemuan dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Habibi berkata, hasil ujian saringan air kencing turut didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Habibi berkata, hasil serbuan yang dijalankan, seramai 13 individu ditahan kerana memiliki dadah.

Manakala katanya, 32 lagi individu ditahan selepas didapati positif dadah dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“34 individu yang ditahan adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing berusia lingkungan 15 hingga 54 tahun.

“Jumlah keseluruhan rampasan pula adalah sebanyak 10.07 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM1,007 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Habibi berkata, operasi ini akan diadakan dari semasa ke semasa terutamanya di empat kawasan perkampungan yang dikenalpasti sebagai kawasan panas bagi aktiviti penyalahgunaan dadah sekitar daerah ini.

Katanya, sebarang maklumat berhubung aktiviti jenayah dadah boleh disalurkan menerusi talian Hotline IPD Kota Kinabalu 088-529220 atau terus ke lama  facebook IPD Kota Kinabalu.

Tamat