DUA NELAYAN MILIKI BOM IKAN DITAHAN POLIS


LAHAD DATU: Dua lelaki yang dikesan memiliki peralatan disyaki untuk aktiviti bom ikan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Tanjung Sakar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 30 dan 72 tahun yang mengaku berasal dari Tanah Timbus, di sini, itu ditahan ketika menaiki sebuah bot pam diperairan berkenaan.

Pegawai Pemerintah PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, ketika ditahan, hasil pemeriksaan di dalam ruangan perahu berjaya menemui pelbagai alat yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti mengebom ikan.

Katanya, antara alat yang ditemui, tiga botol kaca berisi baja ammonium nitrat, dua unit detonator bersama fius keselamatan serta satu pemetik api.

“Turut ditemui, topeng muka selaman dan satu set unit kompressor angin serta satu gulung hos getah.

“Kedua-dua lelaki terbabit juga gagal  menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Gan berkata, pada lebih kurang jam 5.45 petang, pihaknya berjaya menemui sebuah lagi bot pam di kawasan berhampiran.

Katanya, perahu berkenaan ditinggalkan pemiliknya didapati berisi kira-kira 30 kilogram pelbagai jenis ikan yang disyaki ditangkap menggunakan kaedah bom ikan.

“Siasatan awal mendapati, taktik licik mereka bagi mengelakkan dari ditangkap pasukan keselamatan adalah dengan menggunakan ‘pump boat’ dan perahu kecil bagi memudahkan mereka melarikan diri ke kawasan cetek.

“Namun tindakan pantas Pasukan Polis Marin menahan bot pam berkenaan berjaya mengekang mereka dari melarikan diri.

“Hasil rampasan kedua-dua tangkapan dianggarkan berjumlah RM 3,960 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Gan berkata, tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke pangkalan Markas PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan membuat, memiliki dibawah jagaannya bahan letupan.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM20,000.00 dan penjara maksimum dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Gan berkata, pihak PPM menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di nombor 0132831197.

Katanya, maklumat juga boleh disalurkan ke Gerakan PPM Lahad Datu di talian 0139808084 bagi memastikan keselamatan dan kemakmuran setempat terjaga dan terkawal.

Tamat