
Kota Kinabalu: Kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin kononnya tindakan Veveonah Mosibin hanya untuk mendapatkan populariti sebagai ‘youtuber’ dan bukan untuk menduduki peperiksaan amat mendukacitakan.
Walaupun permohonan maaf sudah dibuat namun harus disedari kenyataannya itu menyebabkan pelajar berkenaan menjadi mangsa kecaman di laman sosial.
Ketua Bahagian UPKO Sepanggar, Datuk Wong Thien Fook berkata, soalan dalam Dewan Negara yang disuarakan, Timbalan Presiden UPKO, YB Senator Datuk Donald Peter Mojuntin sebenarnya merujuk kepada perkembangan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang amat dinanti-nantikan terutamanya di negeri Sabah.
Bagaimanapun katanya, Zahidi sebaliknya mengecam dan menuduh Veveonah sebenarnya tidak mempunyai sebarang peperiksaan dan hanya sekadar membuat kandungan video untuk hiburan dan menempah nama.
“Selaku timbalan menteri, beliau seharusnya memastikan segala informasi yang diperolehinya adalah tepat selaras dengan inisiatif kementeriannya membudayakan amalan ‘tidak pasti, jangan kongsi’.
“Selain memohon maaf, beliau juga seharusnya memberikan penjelasan secara lebih jelas termasuk menyatakan siapa pegawai atau individu dari kementeriannya yang memberikan maklumat kepadanya berhubung pelajar berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Wong berkata, Zahidi tidak faham situasi sebenar di Sabah yang mana masih banyak lokasi yang sukar untuk mendapatkan rangkaian komunikasi terutama di kawasan pedalaman.
Malah katanya, kawasan Inanam yang hanya terletak kurang dari 10 kilometer daripada Bandaraya Kota Kinabalu masih tidak mempunyai sistem rangkaian komunikasi yang sempurna.
“Ini amat memalukan untuk seorang timbalan menteri yang sangat jelas tanpa usul periksa mengecam seseorang penuntut pusat pengajian tinggi seperti Veveonah.
“Apakah kedudukannya sebagai seorang Timbalan Menteri boleh sewenang-wenangnya membuat tuduhan liar terhadap seorang pelajar di luar bandar,” katanya.
Terdahulu, Zahidi dilaporkan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin di Dewan Negara, semalam.
Timbalan Presiden UPKO itu membangkitkan isu video Veveonah yang tular ketika bertanya mengenai tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet di antara bandar dan luar bandar khususnya di Sabah.
Malah menerusi akaun Twitternya, Zahidi turut mendakwa rakaman video pelajar itu yang terpaksa memanjat pokok untuk dapat capaian internet sebenarnya sekadar dilakukan hanya tujuan hiburan dan menaikkan ‘viewer’ di laman ‘Youtube’ miliknya.
Tamat





