
KOTA KINABALU: Seramai 44 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah ditahan dalam operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang berakhir, Jumaat lalu.
Dalam operasi selama seminggu itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) turut berjaya merampas dadah jenis syabu dan ganja yang dimiliki beberapa individu dalam tangkapan terbabit.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil operasi itu, seorang individu ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan pengedaran dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, 14 lagi yang ditahan disiasat mengikut kategori memiliki dadah Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 akta yang sama.
“Selain itu, 28 individu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) juga akta yang sama selepas didapati positif dadah.
“Manakala seorang individu lagi ditahan mengikut Seksyen 3(1) akta yang sama dibawah Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Habibi berkata, semua individu yang ditahan berusia antara lingkungan 18 hingga 53 tahun.
“Jumlah keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 11.67 gram syabu dan 0.
75 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM1,204.50,” katanya.
Terdahulu, Habibi berkata usaha untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah akan terus dipertingkatkan.
“Serbuan lokasi panas yang disyaki menjadi sarang penagihan dan pengedaran dadah akan terus diperhebat dari semasa ke semasa.
“Justeru, kerjasama masyarakat setempat amat diperlukan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis dalam usaha membanteras jenayah dadah,” katanya.
Tamat







