Masyarakat Digesa Supaya Bertenang Dengan Perkembangan Terkini.

Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa masyarakat di negeri ini supaya bertenang dengan dua perkembangan terkini membabitkan penularan Wabak Covid-19 di Lahad Datu dan keputusan injuksi di Mahkamah Rayuan membabitkan kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, masyarakat diminta supaya tidak menularkan sebarang kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran orang ramai.

Katanya, masyarakat perlu mengekalkan keamanan dan keharmonian untuk memastikan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.

“Bagi kes Lahad Datu, saya minta orang ramai jangan tular perkara yang tidak pasti selain terus bertenang dan mendapatkan maklumat sahih dari pihak berkuasa.

“Saya juga ingin menyentuh sedikit berkenaan injuksi di Mahkamah Rayuan, masyarakat diminta supaya bertenang dan menerima apa saja keputusan yang akan diumumkan nanti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Peronda Baharu PDRM, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Pada majlis berkenaan, PDRM Sabah menerima sebanyak 25 kenderaan MPV baharu jenis Honda Civic 1.8 daripada Bukit Aman.

Hazani berkata, pihak polis akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya kepada pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan di negeri ini.

Ketika ditanya mengenai persiapan PDRM menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Hazani menegaskan pihaknya sudah bersedia sepenuhnya.

Katanya, semua kawasan-kawasan yang terlibat sudah disusun atur bagi memastikan perjalanan PRN itu akan berjalan lancar.

Sementara itu, Hazani mengesahkan seorang pegawai kanan polis di Keningau dikuarantin selepas disyaki positif Covid -19.

Katanya, ekoran daripada perkembangan itu, segala langkah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan mengarahkan semua individu rapat supaya menjalani pemeriksaan ujian Swab Covid-19.

Tamat