Gagasan Calon Bebas Sabah Bersedia Hadapi Cabaran PRN

Kota Kinabalu: Ketidakstabilan persekitaran politik, kekecewaan terhadap gangguan proses demokrasi dan rasa sayang terhadap negeri Sabah.

Itu antara kesedaran lima individu untuk bangkit untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya negeri yang akan datang.

Antaranya yang tampil menawarkan diri adalah Melanie Chia calon untuk DUN Likas, Achmad Noorasyrul Noortaip (Inanam), Sim Sie Hong (Api-Api), Michelle Chin Ling Ling (Luyang) dan Jan Chow Yee Fah (Tanjung Aru).

Ketua gagasan berkenaan, Melanie Chia berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan gesaan untuk mengadakan pilihan raya dalam keadaan tergesa-gesa menimbulkan ketidakpastian.

Katanya, tidak cukup dengan itu ia juga menyebabkan keadaan tidak menentu bagi sebilangan besar penduduk di negeri ini.

“Atas kesedaran itu, kami berdiri di sini untuk memperkenalkan diri dan mengumumkan pakatan kami dalam PRN-16 yang akan datang.

“Kami akan dapat bekerjasama berdasarkan visi dan aspirasi yang sama dan selari. Oleh demikian, kami ingin mengumumkan kerjasama hari ini dan pembentukan Pakatan Calon Bebas,” katanya pada sidang media yang dijalankan di Jalan Gaya, hari ini.

Melanie berkata, perubahan pendirian wakil rakyat yang melompat sebelum ini juga telah mengikis kepercayaan rakyat terhadap ahli politik dan wakil rakyat.

Namun katanya, mereka tidak boleh membiarkan tindakan segelintir orang ini merosakkan kepercayaan terhadap proses demokrasi dan melepaskan hak kita untuk menentukan siapa yang harus mewakili kita.

“Begitu juga dengan hak memilih pemerintah tampuk kerajaan negeri. Maka kami berlima yang merasakan tanggungjawab terhadap negeri Sabah ini menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada pilihan pengundi.

“Walaupun ramai sahabat handai yang menghubungi atau ada yang tampil mengucapkan selamat maju jaya kepada kami dan ada juga yang menyatakan keprihatinan termasuk memberi amaran kepada kami agar tidak terjun ke ‘air yang keruh’ kerana selalunya ia lebih mudah hanya sekadar mengelakkan diri.

“Namun pilihan di tangan kita sendiri, iaitu sama ada mahu membiarkan hak dan masa depan kita jatuh ke tangan seseorang yang kita undi tetapi langsung tidak dikenali atau tidak pernah ditemui,”katanya.

Melanie berkata, kami yang berjanji untuk terus teguh dengan pendirian kami berharap janji ini akan selari dengan calon bebas lain di seluruh Sabah.

“Kami akan memperluaskan rangkaian kami sehingga boleh bergerak sama dan bekerjasama untuk kebaikan bersama Sabah dan Malaysia,” katanya.

Tamat