
Kota Kinabalu: Masalah di Negeri Sabah bukan hanya membabitkan keadaan jalan berlubang dan berlumpur, ketiadaan bekalan elektrik dan air serta jambatan gantung yang usang semata-mata.
Tetapi antara yang turut perlu diambil perhatian adalah kekurangan sistem telekomunikasi dan kemudahan pendidikan yang serba kekurangan.
Bakal calon DUN Luyang untuk Gagasan Calon Bebas Sabah, Michelle Chin Ling Ling berkata, sebagai seorang yang berkhidmat untuk kerja kemasyarakatan sejak 10 tahun lalu, dia menyedari perkara itu perlu diambil tindakan segera.
Katanya, masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu mendorong kebanyakan ibu bapa terutamanya di kampung berhenti menghantar anak ke sekolah dan lebih suka membiarkan mereka bercucuk tanam.
“Selain daripada kemudahan asas, jalan raya dan pengangkutan yang mengecewakan, Sabah juga menghadapi masalah telekomunikasi dan kemudahan pendidikan yang buruk.
“Oleh itu, sukar untuk melihat anak muda belajar dalam persekitaran yang kondusif dengan keadaan yang serba kekurangan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Michelle berkata, terdapat banyak kekurangan termasuk sambungan internet yang tidak memuaskan selain anak-anak perlu berjalan kaki sejauh beberapa kilometer untuk sampai ke sekolah.
“Isu seorang timbalan menteri menggelar seorang pelajar universiti yang menjadi viral kerana memanjat pokok untuk mendapatkan sambungan internet bagi menduduki peperiksaan sebagai pembohong, bukanlah perkara utama.
“Isu sebenarnya adalah kerana penduduk di semenanjung Malaysia mungkin tidak mempunyai idea atau memahami keadaan sebenar di negeri ini,” katanya.
Michelle berkata, selama bertahun-tahun, sebahagian besar sumber yang ada di Sabah hanya dibelanjakan untuk pembangunan di semenanjung Malaysia.
Katanya, pembangunan sepatutnya dilakukan secara adil dengan menyediakan kemudahan pendidikan dan latihan kemahiran berkualiti serta pembangunan ekonomi sekata di semua negeri.
“Saya percaya, kemudahan pendidikan yang sempurna adalah jaminan kepada masa depan yang lebih cerah kepada rakyat dan salah satu cara membasmi kemiskinan.
Sementara itu, menceritakan pengalaman beliau pada tahun 2010, Michelle berkata, dia bersama enam rakannnya mengambil inisiatif untuk menubuhkan sekolah taska di Kota Belud.
Katanya, mereka terpaksa mengumpulkan dana sebelum berjaya mendirikan taska berkenaan di Kampung Melangkap.
“Namun mereka berdepan satu lagi masalah apabila anak-anak muda terpaksa mendaki bukit untuk sampai ke sekolah berkenaan setiap hari.
“Melihat kesukaran ini, dua ibu yang berpendidikan dari kampung berkenaan diambil bekerja untuk mendidik dan menjaga anak-anak kampung semasa ibu bapa mereka berada di tempat kerja.
“Ini memberikan ramai ibu bapa ketenangan untuk keluar mencari nafkah meninggalkan anak-anak di rumah,” katanya.
Sehubungan itu, Michelle berkata, sebagai seorang wakil rakyat, mereka harus mengutamakan kesejahteraan rakyat dan memikirkan pembangunan sepatutnya.
Katanya, ini bermaksud, hanya mereka yang benar-benar dapat memperjuangkan hak rakyat, masa depan golongan belia, menyediakan kemudahan dan prasarana asas kepada rakyat serta menegakkan kedaulatan undang-undang harus digelar sebagai pemimpin.
“Apa yang diinginkan dan diharapkan oleh orang Sabah sebenarnya amat sederhana. Mereka hanya mahu menikmati perkembangan ekonomi dan sosial seperti negeri-negeri lain di Malaysia.
“Melihat kepada sumbangan Negeri Sabah dari segi ekonomi sememangnya luar biasa. Apa yang rakyat Sabah mahukan adalah hak mereka dikembalikan,” katanya.
Tamat






