
Kota Kinabalu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah bersiap sedia dari aspek keselamatan mahupun ketenteraman awam sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya juga terus mengekalkan pemantauan di sempadan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) sama ada darat dan laut.
“Kita kerjasama dengan semua agensi keselamatan di negeri ini. Saya minta bantuan agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan yang lain.
“Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin mempertimbangkan untuk saya gerakan hampir 10 peratus kekuatan Rela bagi membantu PDRM bersama agensi lain untuk bersedia dalam PRN di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja dan sesi taklimat kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Bilik Persidangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini.
Hazani berkata, menteri berpuas hati dengan taklimat yang disampaikan dan PDRM Sabah sentiasa bersedia menghadapi PRN Sabah.
“Kita sudah bersedia dari segi keselamatan dan ketenteraman awam… Insya-Allah gabungan dengan semua agensi keselamatan seperti Polis, ATM, Rela dan juga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk kita bertindak.
“Saya juga diarahkan untuk duduk bersama dengan Jabatan Imigresen Sabah berbincang semula apakah bentuk tindakan akan dilakukan untuk mengekang kemasukan PATI di sempadan Sabah.
“Kita sudah mengenal pasti lokasi pendaratan PATI melalui lorong tikus kerana memang ada cubaan-cubaan mereka (PATI) masuk ke negeri ini dan kita tidak mahu PATI ini masuk dengan membawa wabak kepada penduduk di Sabah,” katanya.







