
Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Tan Sri Chong Kah Kiat sah bertanding untuk Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam mewakili Parti Liberal Demokratik (LDP).
Beliau yang pernah menjadi ADUN Tanjung Kapor dan bersara pada 2006 sebelum ini membuat kejutan apabila kembali mewarnai senario politik negeri Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) kali ini.
Beliau yang ditemui berkata, antara faktor mengapa beliau keluar daripada persaraan adalah kerana Inanam memerlukan banyak perubahan.
Katanya, walaupun berasal dan pernah mewakili DUN di daerah Kudat, namun beliau tinggal di Likas yang berada sangat hampir dengn Inanam.
“Banyak perlu dilakukan, saya yakin dan percaya kami mempunyai peluang yang cerah untuk menang.
“Kami mempunyai jentera yang bersiap sedia untuk digerakkan dalam PRN kali ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon hari ini.
Chong berkata, motivasi paling penting bagi dirinya untuk PRN kali ini adalah menjadikan Sabah sebagai tempat terbaik untuk semua.
Selain itu, beliau juga mahu ekonomi negeri Sabah dihidupkan semula dan maju untuk masa depan negeri.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada pembabitan LDP dalam PRN kali ini dilihat hanya sebagai ‘gangguan’, Chong berkata, mereka yang menuduh mereka mengganggu sebenar pengganggu dalam PRN ini.

Untuk rekod, persaingan DUN Inanam menyaksikan sebanyak 10 calon termasuk Terrence Tsen (Parti Kerjasama Anak Negeri), Regina Lim (Parti Cinta Sabah) dan Pito Galim (PKR).
Selain itu, turut bertanding bekas pengerusi MCA Sabah Francis Goh mewakili Parti Gagasan Rakyat Sabah), Mohd Hardy Abdullah (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu) adan seorang lagi calon Bebas Achmed Noorasyrul Noortaip.
Tamat






