
Kota Kinabalu: Mengembalikan maruah Sabah akan menjadi visi utama bagi lima calon Gagasan Calon Bebas Sabah yang bertanding di lima kawasan dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16), kali ini.
Mereka yang tampil menawarkan diri bertanding adalah Achmad Noorasyrul Noortaip (N.18 Inanam), Melanie Chia Chui Ket (N.19 Likas), Sim Sie Hong (N.20 Api-Api), Chin Ling Ling (N.21 Luyang) dan Jan Chow Yee Fah (N.22 Tanjung Aru).
Menggunakan ‘Re-Set’ Sabah sebagai moto dalam PRN ini, gagasan ini menetapkan satu visi dan tiga aspirasi sebagai pegangan dalam perjuangan mereka.
Ahli gagasan berkenaan, Melanie Chia berkata, sebagai negeri yang kaya dengan hasil alam semulajadi, Sabah sepatutnya mempunyai nilai pembangunan yang tinggi.
Namun katanya, apa yang jelas ketika ini, masih banyak kawasan terutamanya di pedalaman yang memerlukan pembangunan asas seperti jalan raya serta bekalan air dan elektrik.
“Inilah perjuangan kami sehingga berani tampil menawarkan diri dalam PRN kali ini. Kami mahu memastikan semua hak Sabah yang sepatutnya dimilikiorang Sabah dikembalikan segera.
“Begitu juga dengan aspirasi perjuangan kami yang mahu memastikan tadbir urus kerajaan diuruskan dengan baik dan sistem penyampaian yang lebih berkesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Melanie berkata, gagasan ini juga mahu mewujudkan kerajaan yang memudahcara persekitaran perniagaan dan pekerjaan yang lebih kondusif.
Katanya, aspirasi gagasan ini juga adalah memberikan keutamaan kepada suara bebas yang lebih kuat dan berkesan.
“Kami berlima merasakan tanggungjawab yang tinggi terhadap negeri Sabah dan oleh itu kami menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada pilihan pengundi.
“Kami tidak berseorangan, kami mempunyai pasukan yang dinamik,” katanya.
Tamat






