
KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Sabah meluluskan 257 permit ceramah daripada parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16, setakat ini.
Kelulusan berkenaan diberikan hasil daripada 264 permohonan yang diterima sepanjang tempoh berkempen yang dibenarkan.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah ACP Tan Boon Sing berkata, tujuh permit ceramah yang ditolak selepas lima daripadanya tidak diisi lengkap manakala dua lagi ditarik balik oleh pemohonnya sendiri.
Katanya, sepanjang tempoh sama, polis turut menerima tujuh laporan polis berkaitan salah laku dalam PRN Sabah kali ini.
“Setakat ini, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Selebihnya pula adalah berkaitan pemantauan yang dibuat semasa PRN Sabah dan tiada kes kesalahan yang direkodkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Tan berkata, semua penyokong dan calon parti dinasihatkan supaya hadir di tempat ceramah atau perhimpunan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah mengekalkan penjarakkan sosial dan memakai pelitup muka serta penganjur perlu mencatitkan kehadiran dan suhu badan individu yang hadir serta menyediakan cecair pembasmi kuman.
“Selain itu calon atau penganjur hendaklah memohon permit ceramah dari Ketua Polis Daerah di kawasan tempat ceramah diadakan,” tegasnya.
Tamat





