Penunggang Motosikal Maut Terbabas

 


Labuan: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum terhumban ke dalam parit dalam kejadian di Jalan Sungai Miri berhampiran balai raya Kampung Sungai Miri, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia 22 tahun yang berasal dari Kuala Penyu dikatakan menunggang motosikal seorang diri.

Bagaimanapun, ketika sampai di lokasi kejadian, keadaan jalan basah akibat hujan dipercayai punca mangsa terbabas.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, siasatan mendapati mangsa bergerak dari arah UMSKAL menghala ke Layang-Layangan melalui Jalan Sungai Miri.

Katanya, setibanya di lokasi, mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tayar hiasan di tepi kiri jalan dan terhumban ke dalam parit di kiri jalan berkenaan.

“Pasukan perubatan hospital yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Wilayah Persekutuan Labuan untuk proses bedah siasat dan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Muhamad Farid menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan tidak memandu laju terutamanya ketika hujan lebat yang boleh mengakibatkan jalan licin.

Katanya, Siasatan lanjut dijalankan mengikut  Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tamat