Pemandu Ditahan Kerana Memandu Secara Berbahaya.

Labuan: Seorang pemandu yang bertindak memandu secara merbahaya sehingga hampir merempuh beberapa kenderaan berjaya ditahan polis, hari ini.

Suspek lelaki warga tempatan berusia 59 tahun itu ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, suspek terbabit ditahan susulan satu rakaman video yang tular di aplikasi WhatsApp.

Katanya, rakaman berkenaan menunjukkan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dipandu suspek bergerak secara merbahaya termasuk melawan arus.

“Kejadian itu berlaku semalam di Jalan Kinabenua menghala ke Jalan Sungai Keling/Rancha-Rancha, kenderaan yang dipandu suspek secara merbahaya sehingga memasuki laluan bertentangan dan hampir melanggar kenderaan.

“Suspek sudah berjaya ditahan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD labuan, pagi tadi, untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan kesalahan memandu secara melulu dan bahaya.

“Polis meminta saksi awam yang merakam kejadian itu untuk tampil membantu pihak polis,” katanya.

tamat