KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di tiga kawasan pantai barat iaitu Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang dikuatkuasakan bermula 12.01 tengah malam, 7 Oktober ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berikutan situasi semasa Covid-19 di kawasan berkenaan.
Katanya, pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB itu adalah tidak dibenarkan.
“Bagaimanapun, hanya perkhidmatan perlu (Essential Service) termasuk kilang dan rantaian yang berkaitan saja dibenarkan beroperasi.
“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) juga akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terbabit di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Ismail berkata, pelaksanaan PKPB bertujuan membendung jangkitan dan penularan Covid-19 serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.
Sementara itu, Ismail berkata, antara prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan adalah menghentikan semua operasi perniagaan kecuali membabitkan perkhidmatan dan barangan perlu.
Selain itu katanya, hanya dua orang daripada sebuah rumah dibenarkan keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan dan keperluan rumah.
“Kerajaan memutuskan penutupan semua pasar raya kecuali premis perniagaan yang membekalkan perkhidmatan dan perlu, tidak membenarkan ‘dine in’ di restoran dan kedai makan serta gerai makan.
“Bagi stesen minyak dan farmasi atau kedai menjual ubat-ubatan ditetapkan hanya boleh beroperasi antara jam 6 pagi hingga 6 petang setiap hari.
“Manakala operasi pasar tamu, pasar malam dan pasar tani, rumah ibadat seperti masjid, surau, gereja, tokong dan lain-lain juga akan ditutup kepada orang awam,” katanya.
Ismail berkata, perkhidmatan bas ekspress dan henti-henti manakala bagi perkhidmatan teksi, e-hailing serta penghantaran makanan pula dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga jam 8 malam.
Katanya, semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya juga tidak dibenarkan.
tamat




