Kota Kinabalu: Parti Warisan Sabah menyelar dakwaan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Malaysia, Nazir Helmi yang menuduh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal rakus untuk kekal menjadi Ketua Menteri melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru berlalu.
Ketua Wira, Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, peningkatan Covid-19 di negara ini termasuk Sabah sepatutnya diselesaikan secara bersama oleh parti pemerintah dan pembangkang demi memastikan keselamatan rakyat keseluruhannya dapat dikembalikan.
Bagaimanapun katanya, kenyataan Nazir Helmi itu melampaui batas dan menunjukkan kedangkalan pemikiran serta sikap bodoh sombongnya kerana tidak melihat dari mana punca sebenar pergolakan politik Sabah.
“Keharmonian politik Sabah sebenarnya digugat oleh sikap tamakkan kuasa oleh Tan Sri Musa Aman yang menerima sokongan daripada Perikatan Nasional apabila kesemua 46 kes rasuah yang dihadapinya digugurkan sebaik sahaja Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
“Dengan sokongan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah ditawarkan pelbagai ganjaran untuk melompat parti.
“Manakala bagi yang enggan menerimanya, mereka diugut berkali-kali melalui manipulasi agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Mohd Azis berkata, ugutan itu menyebabkan ramai ADUN melompat menyokong Musa untuk mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang seperti yang berlaku di Persekutuan, Johor, Melaka dan Kedah.
Bagaimanapun katanya, tindakan berkenaan digagalkan selepas Yang Dipertua Sabah bersetuju membubarkan DUN untuk mengembalikan hak kepada rakyat memilih siapa kerajaan yang dimahukan.
“Memang wujud desakan di mahkamah agar PRN ditangguhkan kerana Covid-19 tetapi bukankah SPR sendiri telah menetapkan bahawa SOP sudah disediakan untuk memastikan perjalanan PRN dilangsungkan dengan baik?
“Bukankah SPR juga melalui peguamnya terlibat dalam kes mahkamah tersebut sehingga PRN diteruskan?
“Justeru, persoalan utama yang perlu dilihat adalah pelaksanaan serta pematuhan SOP sepanjang kempen sehinggalah hari mengundi PRN Sabah,” katanya.
Mohd Azis berkata, pokok pangkalnya, PRN Sabah tidak akan diadakan jika bukan kerana Musa Aman dan Hamzah yang mendapat sokongan Muhyiddin rakus membeli ADUN Sabah untuk memastikan Kerajaan Persekutuan yang dibentuk melalui pintu belakang kekal sehinggalah tamat penggal.
Katanya, di mana pendirian Pas ketika PN rakus membeli ADUN Sabah sedangkan Seri Paduka Baginda berpesan agar keharmonian negara tidak lagi diganggu-gugat melalui tindakan ahli-ahli politik?
“Rakyat Sabah masih ingat semasa kempen Hamzah di Kiulu baru-baru ini, beliau mengugut tidak akan menghantar pulang PTI jika rakyat tidak mengundi calon PBS di DUN Kiulu.
“Kita semua tahu jangkitan baharu Covid-19 berpunca daripada kemasukkan PTI, justeru kenapa tidak hantar pulang sahaja PTI berkenaan kerana kuasa berada di tangan Persekutuan, malah Hamzah sendiri adalah menterinya.
“Kesannya dapat dilihat sekarang kerana kuasa politik yang dicari Sabah akhirnya dilanda gelombang baharu Covid-19 daripada PTI.
“Ketika ini, Covid-19 meningkat mendadak dengan pelaksanaan PKPDB dan PKPB di beberapa daerah di Sabah, tetapi di manakah sudah semua pemimpin dari Malaya yang sebelum ini merayu undi rakyat Sabah?,” tegasnya.
Mohd Azis berkata, mereka sudah balik ke Malaya dengan rasa puas berjaya merosakkan Sabah tetapi bagaimana nasib rakyat Sabah yang kini memerlukan bantuan para pemimpin ini?
“Nazir Helmi lupa bahawa Pas juga beriya-iya untuk bertanding dalam PRN Sabah tetapi tidak mendapat kerusi kerana hakikatnya, rakyat Sabah menolak parti itu yang menggunakan agama sebagai tunggangan demi meraih sokongan politik.
“Kini, Pas pula mengidamkan satu jawatan ADUN dilantik untuk parti itu?
“Pas sebagai parti yang ‘suci murni’ di mata pengikutnya sepatutnya mengkritik pemimpin-pemimpin Malaya yang merupakan sekutu mereka dalam Perikatan Nasional kerana tidak melakukan kuarantin kendiri sebaik sahaja balik ke Malaya menyebabkan orang ramai kini berdepan risiko turut dijangkiti virus berkenaan,” tegasnya.
Mohd Azis berkata, mungkin tiada masalah di mata Pas kerana pemimpin mereka sendiri iaitu Menteri Perladangan dan Komiditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak mematuhi kuarantin dengan hadir ke sidang Dewan Rakyat baru-baru ini?
“Inilah ciri-ciri parti yang menunggang agama dan ditolak bulat-bulat oleh rakyat Sabah,” tegasnya lagi.
Tamat






