PKPB: PENUTUPAN SEKOLAH LANGKAH TEPAT BENDUNG COVID-19

KOTA KINABALU: Penutupan sekolah di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini hingga 20 Okt adalah langkah yang tepat untuk membendung COVID-19 terutama dalam kalangan pelajar sekolah.

Perkara itu dinyatakan oleh ibu bapa, pelajar dan guru yang ditemui Bernama, dengan masing-masing meluahkan  kelegaan atas langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan (KPM) tersebut yang menyaksikan pelajar meneruskan pembelajaran secara dalam talian.

Seorang ibu, Charlotte Rachel George Moinol, 36, berkata gelombang COVID-19 kali ini menular secara agresif dan satu-satunya cara untuk mengetahui jika seseorang itu dijangkiti virus tersebut ialah melalui ujian saringan.

“Sesiapa sahaja boleh dijangkiti. Mungkin anda, saya atau anak-anak kita. Kita tidak tahu kerana virus ini tidak menunjukkan banyak gejala. Ada kes orang yang terkena jangkitan tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala.

“Bagaimanapun, saya berasa lega bila Kementerian Pendidikan mengumumkan penutupan sekolah kerana ini bukan sahaja melibatkan kesihatan dan keselamatan pelajar tetapi juga kita semua,” katanya yang mempunyai anak bersekolah rendah di Penampang.

Pada Isnin, KPM mengeluarkan kenyataan bahawa 122 buah sekolah di daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah akan ditutup susulan pelaksanaan PKPB di ketiga-tiga kawasan tersebut.

Charlotte turut mencadangkan guru terlibat merakamkan pengajaran dalam talian mereka seperti melalui webinar yang boleh dimuat naik melalui platform media sosial.

“Langkah ini akan membantu pelajar dalam menyelesaikan kerja sekolah kerana mereka boleh memainkan semula rakaman itu jika mereka tidak memahami kelas dalam talian yang mereka hadiri,” katanya.

Ibu kepada dua anak di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Lynnora Chin, 44, pula berkata dia akan memantau kegiatan anak-anaknya sepanjang PKPB selain memastikan mereka menghadiri semua kelas dalam talian yang diadakan. 

“Menerusi penutupan sekolah ini, saya berasa selamat kerana peluang untuk pelajar dijangkiti virus berkurangan,” katanya.

Katanya pihak sekolah harus memastikan amalan penjarakan fizikal di dalam bilik darjah apabila sekolah dibuka semula kelak.

Murid tahun enam,  Faylencia Ruth, 12, pula berkata sebelum ini dia berasa takut hendak ke sekolah kerana kebanyakan pelajar tidak mematuhi prosedur operasi standard bagi mengekang penularan COVID-19.

“Saya lihat rakan sedarjah saling berpegangan tangan dan ada yang tidak memakai pelitup muka semasa dan selepas sekolah. Saya berasa selamat selepas mendengar berita sekolah ditutup dan sekarang saya dapat belajar dengan selesa di rumah. Saya juga akan membuat jadual waktu belajar,” katanya.

Menurut seorang guru yang hanya ingin dikenali sebagai Anna, risiko untuknya dijangkiti COVID-19 semakin rendah kerana kurang kontak dengan ibu bapa dan pelajar. 

“Memandangkan kami akan mengadakan kelas dalam talian dalam tempoh tersebut, saya akan pastikan penglibatan mereka dalam kelas selain memastikan mereka menyelesaikan latihan  melalui aplikasi Google Classroom, WhatsApp atau Telegram,” katanya.

— BERNAMA