
Lahad Datu: Seramai 24 individu dikenakan kompaun selepas didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikuatkuasakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di daerah ini, bermula 29 September lalu.
Selain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu turut menahan enam individu dan membuka empat kertas siasatan atas kesalahan sama.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, antara kesalahan yang dikompaun termasuk menaiki kenderaan lebih dua individu, berkumpul tanpa penjarakan sosial, melakukan aktiviti tidak dibenarkan dan menjual rokok seludup.
Katanya, mereka yang dikompuan berusia 16 hingga 59 tahun membabitkan 19 lelaki dan lima wanita.
“Enam individu berusia 19 hingga 43 tahun pula ditahan kerana kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran dan berkeliaran tanpa alasan munasabah di tempat awam pada waktu tengah malam.
“Polis turut membuka empat kertas siasatan kerana melanggar PKPDB,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Nasri berkata, kesalahan yang dilakukan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.8) 2020.
Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.
Sehubungan itu, Nasri menasihati orang ramai khususnya warga Lahad Datu supaya sentiasa mematuhi SOP PKPDB yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, orang ramai dinasihatkan sentiasa mengelakkan kawasan sesak, sempit atau bersembang pada jarak yang dekat.
“Selain itu, amalkan kekerapan mencuci tangan, memakai pelitup muka sepanjang masa ketika berada di luar rumah,” katanya.
Tamat







