APMM Tahan Bot Nelayan Kaut Hasil Kurang Tiga Batu Nautika Pesisir Pantai

KOTA KINABALU: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan kurang tiga batu nautika.

Bot nelayan berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 2.47 batu nautika barat Tanjung Lok Pisuk, Tuaran, di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah Dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama, Mohd Rosli Abdullah berkata, pemeriksaan dilakukan selepas aktiviti bot berkenaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan berkenaan melanggar syarat sah lesen dengan menunda kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai berhampiran.

“Enam orang kru bot turut diperiksa, dua orang daripadanya adalah warga tempatan manakala tiga orang warganegara Indonesia dan seorang Filipina.

“Kru dan bot berkenaan kemudiannya diiring masuk ke Jeti Maritim Negeri Sabah, Sepanggar untuk siasatan lanjut dan akan melaksanakan saringan COVID 19 oleh pihak KKM,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (b), Akta Perikanan 1985, iaitu melanggar syarat lesen kerana menunda kurang tiga batu nautika dari pesisir pantai.

Katanya, bagi kesalahan pertama, pemilik kapal akan dikompaun sebanyak RM 500, kesalahan kedua RM 1000 dan kesalahan ketiga RM 1500.

“Sekiranya kesalahan berulang, lesen boleh dibatalkan dan kapal akan disita,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli memaklumkan, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Negeri Sabah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang bermula 7 Oktober lalu untuk menghentikan rantaian COVID 19.

Katanya, komuniti maritim juga dinasihatkan untuk sentiasa patuh kepada arahan dikeluarkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengutamakan kebersihan dan keselamatan diri dan keluarga.

Tamat